Integriti & Governans

IG_Logo_BM_White_Hor
e-Aduan

Course Details

POLISI-POLISI

INTEGRITI & GOVERNANS

Full-Stack Instructor
Untitled-1-03-03

Governans

Governans yang juga merujuk kepada tadbir urus korporat merupakan proses dan struktur yang digunakan untuk mengarah dan mengurus perniagaan dan hal ehwal sesebuah syarikat bagi meningkatkan keuntungan perniagaan dan kebertanggungjawaban korporat dengan tujuan utama untuk mencapai nilai jangka panjang pemegang saham tanpa mengenepikan kepentingan pihak berkepentingan lain.

Polisi Antirasuah

Polisi ini menjelaskan perkara-perkara berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta pengubahan wang haram di dalam pengurusan MBI yang mana boleh menyebabkan terjejasnya reputasi organisasi serta membawa kepada risiko implikasi undang-undang bukan sahaja kepada pelaku malah kepada organisasi.

Tafsiran MBI Sebagai Badan Awam

Seksyen 3 (d) ASPRM 2009 menafsirkan MBI sebagai satu badan awam yang mana ALP, kakitangan serta pihak berkepentingan MBI adalah disifatkan sebagai pegawai badan awam. Maka, individu yang ditakrifkan sebagai pegawai badan awam boleh diambil tindakan atas kesalahan khusus yang diperuntukkan di bawah ASPRM 2009 mahupun AMLATFPUAA 2001.

4 Kesalahan Utama di bawah ASPRM 2009

1. Meminta / Menerima Rasuah;
2. Memberi / Menawarkan Rasuah;
3. Mengemukakan Tuntutan Palsu; dan
4. Salah Guna Kuasa

Tindakan Pencegahan

1. Tolak: Warga MBI hendaklah menolak jika diberi atau ditawarkan sebarang bentuk suapan.
2. Lapor: Warga MBI yang mengetahui perlakuan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan hendaklah melaporkannya kepada JPRTUI MBI, SPRM atau agensi penguatkuasa yang lain.
3. Diam: Warga MBI yang telah melaporkan aduan hendaklah tidak mendedahkan maklumat aduan kepada mana-mana pihak lain.

Polisi Berurusan Dengan Pihak Ketiga

Polisi ini menjelaskan keperluan menginstitusikan urusan / projek yang melibatkan pihak ketiga melalui pelaksanaan kawalan dalaman, penilaian risiko dan pematuhan terhadap dasar serta perundangan yang berkaitan dengan menjalankan tiga (3) peringkat usaha wajar; iaitu Penilaian Integriti, Penilaian Risiko serta Semakan Kontrak dan Perjanjian.

Penilaian integriti

Merujuk kepada proses sistematik yang dijalankan bagi menilai tahap pematuhan, latar belakang dan potensi risiko reputasi pihak ketiga sebelum atau semasa menjalinkan hubungan perniagaan dengan syarikat.

Penilaian Risiko

Meliputi risiko strategik, risiko kewangan dan risiko operasi yang akan menentukan tahap intervensi yang diperlukan.

Semakan Kontrak dan Perjanjian

Pihak yang bertanggungjawab ke atas sesuatu urusan / projek perlu mendapatkan khidmat semakan dan pemuktamadan dokumen perundangan sekiranya relevan daripada fungsi sokongan dalaman berautoriti.

Polisi Konflik Kepentingan

Polisi ini memfokuskan kepada pengenalpastian dan pengurusan konflik kepentingan yang efektif bagi memastikan setiap keputusan adalah demi kepentingan organisasi. MBI juga adalah dilindungi dari sebarang kerosakan dan reputasi akibat daripada aktiviti yang bercanggah dengan kepentingan organisasi.

Pengenalpastian Konflik Kepentingan

Secara umumnya, konflik kepentingan akan timbul dimana kemampuan seseorang untuk melaksanakan tugas dengan amanah serta tidak berat sebelah berpotensi terjejas oleh kepentingan, pertimbangan dan hubungan peribadi.

Contoh Senario Konflik Kepentingan

1. Pemilikan saham dalam entiti yang mempunyai hubungan perniagaan dengan MBI;
2. Pengarahan, perkongsian atau faedah lain yang bermanfaat bagi entiti yang mempunyai hubungan perniagaan dengan MBI;
3. Pekerjaan sambilan lain;
4. Ahli keluarga kakitangan mempunyai hubungan pelaporan dengan kakitangan tersebut;
5. Urusan kontrak dengan kakitangan;
6. Berurusan dengan pesaing perniagaan; dan
7. Penglibatan dalam aktiviti dimana pengarah atau kakitangan yang berkenaan adalah merupakan subjek perbincangan utama

Tatacara Pengurusan Konflik Kepentingan

Konflik kepentingan mestilah dinyatakan dengan mengisi Borang Pernyataan Konflik Kepentingan. Pengisytiharan itu akan dibuat pada waktu dan ketika konflik itu timbul, dan harus dibuat pada kesempatan paling awal.

Polisi Penerimaan dan Pemberian Hadiah

Polisi ini memfokuskan kepada amalan menerima dan memberi hadiah yang telah menjadi budaya dalam masyarakat. Walaupun ia bertujuan bagi melahirkan penghargaan, meraikan persaudaraan dan persahabatan, namun maksud sebenar amalan ini amat sukar diterjemahkan. Jika dikaitkan dengan tugasan rasmi harian, perkara ini berkemungkinan menjurus ke arah penyalahgunaan kuasa yang boleh diintepretasikan sebagai rasuah dan mengakibatkan integriti dan imej MBI terjejas.

Penerimaan Hadiah Yang Dibenarkan

Bagi penerimaan hadiah yang tidak berkaitan dengan tugas rasmi / hubungan rasmi, warga kerja MBI boleh menerima hadiah dan tidak perlu mengemukakan Borang Penerimaan Hadiah tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

Penerimaan Hadiah Yang Tidak dibenarkan

Warga Kerja MBI hendaklah mengelak daripada menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi seperti meminta dan / atau menerima apa-apa hadiah, upah atau kemudahan yang boleh menjejaskan integriti.

Pemberian Hadiah Yang Dibenarkan

Warga kerja MBI boleh memberikan hadiah yang berkaitan dengan tugas rasmi / hubungan rasmi dan tidak perlu mengemukakan Borang Pemberian Hadiah. Namun hendaklah mendapatkan kelulusan menerusi proses kerja yang lainnya seperti memo perlaksanaan, memo lantikan, surat dan sebagainya oleh kerana setiap pembelian menggunapakai bajet jabatan dan dijelaskan penerimanya.

Polisi Pengurusan Pengaruh Luar dan Surat Sokongan

Polisi ini memfokuskan kepada pengaruh luar dan surat sokongan yang diterima daripada organisasi atau individu berpengaruh yang acap kali meletakkan warga kerja yang dipertanggungjawabkan untuk membuat sesuatu pertimbangan atau keputusan dalam keadaan serba salah atau terganggu, malah ada yang turut merasa terancam dari pelbagai aspek.

Pengaruh Luar

Apa-apa bentuk tekanan / desakan sama ada secara lisan, bukan lisan atau apa-apa bentuk yang lain daripada pemimpin kerajaan atau Individu Berpengaruh ke atas warga kerja MBI yang bertujuan untuk menyokong sesuatu permohonan atau mempengaruhi pertimbangan keputusan.

Melaporkan Arahan Atau Sokongan Yang Diterima

Segera melaporkan secara bertulis mengenai arahan / sokongan yang diterima kepada Ketua Divisyen / Ketua Jabatan dan JPRTUI MBI untuk arahan dan tindakan lanjut.

Penerimaan Arahan Atau Sokongan Yang Dibenarkan

Apa jua penyataan sokongan seperti ‘saya sokong’, ‘saya tiada halangan’, ‘disokong’, ‘sila beri pertimbangan’, ‘sila teliti’, ‘sila uruskan’, ‘untuk tindakan’, ‘untuk pertimbangan sewajarnya tertakluk kepada peraturan yang sedang berkuatkuasa’ dan sebagainya boleh digunakan. Namun, ia bukanlah merupakan suatu arahan untuk meluluskan sesuatu urusan kerja MBI.

Polisi Pengurusan Aduan

Polisi ini menjelaskan tatacara membuat aduan yang melibatkan operasi MBI dan syarikat milikannya. Individu yang boleh melaporkan aduan adalah merangkumi Ahli Lembaga Pengarah (“ALP”), kakitangan, pihak berkepentingan, rakan perniagaan, syarikat milikan MBI mahupun orang awam sekali pun.

Pengadu (Complainant)

Individu yang membuat aduan yang berkaitan salah laku seperti pelanggaran etika dan tatakelakuan samada MBI mahupun syarikat milikan.

Antara aduan Yang Tidak Perlu Dilaporkan

1. Aduan yang bersifat rungutan peribadi mengenai terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan, penilaian prestasi, pampasan atau lain-lain aspek hubungan kerja;
2. Aduan yang mengandungi maklumat yang dilarang didedahkan oleh undang-undang ;
3. Aduan yang mempersoalkan merit dasar Kerajaan atau MBI dan syarikat milikan; dan
4. Aduan yang dibuat tanpa butiran identiti pengadu, identiti pengadu tidak dapat disahkan atau dibuat melalui surat layang.

Skop Aduan

Secara dasarnya skop aduan meliputi semua salah laku yang telah, sedang atau dipercayai mungkin berlaku di MBI mahupun syarikat milikan yang jika terbukti:
1. Menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah undang-undang; dan
2. Menjadi suatu kesalahan tatatertib sekiranya melanggar mana- mana Polisi, peraturan dan prosedur yang berkuatkuasa di MBI dan syarikat milikan.

Polisi Rujukan Kepada Pihak Berkuasa

Polisi ini menjelaskan tatacara membuat pemberian maklumat (“Whistleblowing”) Kelakuan Tidak Wajar yang berunsurkan jenayah yang melibatkan operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (“MBI”) dan syarikat milikannya kepada agensi penguatkuasaan. Individu yang boleh melaporkan adalah merangkumi Ahli Lembaga Pengarah (“ALP”), kakitangan, pihak berkepentingan, rakan perniagaan, syarikat milikan MBI mahupun orang awam sekali pun.

Pemberi Maklumat (Whistleblower)

Individu yang membuat aduan berkaitan kesalahan jenayah seperti rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan sebagainya yang melibatkan operasi MBI dan syarikat milikannya.

Kelakuan Tidak Wajar

Apa-apa kelakuan yang jika terbukti, menjadi suatu kesalahan tatatertib (rujuk tafsiran “kesalahan tatatertib” di bawah Seksyen 2, Akta 711) atau kesalahan jenayah.

Aduan secara niat suci hati

Aduan hendaklah dibuat dengan niat suci hati, bukan palsu, berniat jahat atau bersifat fitnah. Aduan itu hendaklah berdasarkan kepada fakta dan tidak bersifat spekulatif